Rafizi: Dasar Kerajaan Tidak Wajar Bergantung Kepada Kehendak Individu

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan bahawa kesinambungan dasar kerajaan tidak seharusnya bergantung kepada pentadbiran semasa atau kehendak peribadi ahli politik.

Menurut Rafizi, kedudukannya sebagai Menteri Ekonomi hanyalah bersifat sementara, dan dasar negara perlu melangkaui mana-mana individu atau kepimpinan politik.

“Akan ada menteri ekonomi baharu menggantikan saya suatu hari nanti. Namun dasar kerajaan mesti terus berjalan, tidak kira siapa yang memegang jawatan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Rakan Kongsi Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada majlis sama, enam institusi kewangan utama, termasuk Bank of America, HSBC, Sumitomo Mitsui, CGS International, Maybank dan CIMB menandatangani surat niat (LOI) bagi menyokong pelaksanaan JS-SEZ.

Rafizi berkata, penglibatan bank-bank ini akan merangsang penyertaan sektor swasta melalui saluran pembiayaan strategik, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap inisiatif dua hala ini.

“Ini lebih daripada sekadar kerjasama Malaysia-Singapura. Ia menunjukkan dunia masih mahu terbuka dan bekerjasama,” katanya.

Rafizi turut menggariskan empat tonggak utama kerjasama dengan bank-bank tersebut.

Perta Pembiayaan sektor strategik seperti industri hijau, digital dan kreatif; Jaringan global bank untuk promosi dan penglibatan pihak berkepentingan; Perkhidmatan penasihat dan pegawai perhubungan untuk menarik pelabur asing dan Penyelidikan pasaran dan risikan ekonomi bagi menyokong pembangunan dasar.

Rafizi turut memaklumkan bahawa Pelan Tindakan JS-SEZ dijangka dilancarkan hujung tahun ini, merangkumi hala tuju jangka panjang serta peluang pelaburan baharu.

JS-SEZ merupakan inisiatif strategik Malaysia-Singapura yang dimeterai pada 7 Januari lalu, bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

BBerkaitan

Latest articles