KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui pendekatannya menegur parti secara terbuka semasa kempen pemilihan parti ibarat tindakan “kamikaze” atau berani mati.
Menurut beliau, tindakannya itu bukan berniat untuk mencetuskan kontroversi, tetapi berlandaskan prinsip dan roh perjuangan parti yang selama ini dipegang teguh oleh PKR.
“Memang ada yang minta saya berhati-hati, takut-takut saya masuk penjara. Tapi saya tak bimbang. Saya bercakap berdasarkan adab dalam parti, roh perjuangan itu yang kita pegang selama ini,” kata Ahli Parlimen Pandan itu dalam ucapannya pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Perak malam tadi.
Tambah Rafizi, perjuangan PKR tidak boleh dipandu oleh ketakutan semata-mata apabila sudah berada di tampuk kuasa.
“Kita selalu diulit supaya jangan bicara soal perjuangan jika bimbang risiko. Tapi kalau dah jadi kerajaan, semua jadi penakut, itu bukan caranya,” katanya lagi.
HIRUK merupakan inisiatif yang digerakkan oleh pasukan beliau untuk memastikan PKR terus kekal berpegang kepada prinsip reformasi, khususnya ketika mentadbir negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi turut mengesahkan bahawa beliau enggan merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mei ini di Johor Bahru.
Beliau berkata, keputusan tersebut telah dimaklumkan melalui surat rasmi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan salinan kepada Setiausaha Agung, Fuziah Salleh.
“Memang betul saya tidak berhajat memenuhi jemputan merasmikan kongres itu. Surat itu saya hantar kepada dua individu sahaja, tapi ia dibocorkan, bukan sekadar isi kandungan, malah surat itu sendiri disebarkan,” tegasnya.
Menurut sumber dalaman PKR, penolakan tersebut dipercayai berkaitan dengan perubahan sokongan di peringkat akar umbi parti terhadap pencabar jawatan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar, serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Situasi ini semakin ketara apabila Rafizi tidak dijemput ke Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR Sabah yang berlangsung di Kota Kinabalu pada Sabtu lalu.
Pemilihan PKR dijadual berlangsung pada 24 Mei ini, dengan jawatan Timbalan Presiden menjadi antara tumpuan utama setelah disahkan Nurul Izzah akan bertanding merebut jawatan tersebut.