Waris Wira FRU Terima Pampasan Sehingga RM269,000

KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pelbagai bentuk bantuan dan pampasan kewangan kepada waris serta anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas tragis di Jalan Chikus–Sungai Lampam, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, setiap waris akan menerima jumlah bantuan antara RM58,000 hingga RM269,000, bergantung kepada tahap kecederaan atau kes kematian yang berlaku.

“Bantuan awal sebanyak RM1,200 akan disalurkan kepada waris anggota yang bekerja melalui Tabung Kebajikan PDRM,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, semalam.

Perincian bantuan merupakan RM25,000 menerusi Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (bagi kes kematian); RM8,000 – RM11,000 bagi anggota cedera parah dan hilang upaya kekal; RM1,000 untuk kecederaan ringan, tertakluk kepada penilaian pakar perubatan; Skim Ex-Gratia: Pampasan pukal sebanyak RM20,000 serta bayaran bulanan kepada waris bergantung kepada tahap hilang upaya; RM11,000 sumbangan khas daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak; RM1,500 bantuan khairat kematian daripada Koperasi PDRM dan RM36,000 hingga RM211,000 pampasan insurans, bergantung pada caruman individu.

Ayob Khan menegaskan bahawa keseluruhan bentuk bantuan ini merupakan usaha bersama pelbagai entiti di bawah PDRM untuk memastikan kebajikan waris wira negara terus terpelihara.

Dalam perkembangan berkaitan, ujian air kencing ke atas pemandu lori berusia 45 tahun yang dipercayai terlibat dalam kemalangan tersebut menunjukkan keputusan negatif terhadap sebarang bahan terlarang, termasuk ketum.

“Dakwaan tular kononnya suspek membawa ketum adalah tidak benar. Polis telah menjalankan siasatan menyeluruh termasuk aspek teknikal perlanggaran,” tegasnya.

Suspek dijadualkan ditahan reman di Mahkamah Majistret Teluk Intan pagi ini bagi membantu siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles