KUALA LUMPUR: “Kami terima permohonan maaf, tapi tolonglah ubah apa yang patut supaya perkara ini tidak berlaku lagi kepada anak orang lain.”
Itulah harapan penuh Siti Aishah Rahim, 27, dan suaminya Mohd Firdaus Zain, 40, selepas anak sulung mereka, Siti Farha Adelia, 22 bulan, diserang sawan akibat didakwa terpaksa menunggu rawatan selama hampir 11 jam di Hospital Melaka.
Menurut Siti Aishah, mereka telah menerima permohonan maaf daripada pihak pengurusan hospital yang datang bertemu mereka pagi tadi.
Namun, katanya, apa yang lebih penting kini ialah tindakan susulan agar kejadian sebegini tidak lagi berulang.
“Sebagai anak jati Melaka, saya merayu kerajaan negeri agar serius memandang isu ini. Jangan hanya tumpu pada projek jutaan ringgit yang tak menyentuh keperluan rakyat, tetapi hospital seperti diabaikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Melaka hari ini.
Siti Aishah sebelum ini berkongsi kisah menyayat hati tentang bagaimana anaknya hanya diambil darah ketika tiba di hospital pada jam 2.30 petang Sabtu lalu, tanpa sebarang rawatan susulan meskipun suhu badannya terus meningkat hingga mencecah 40 darjah Celsius.
Anaknya kemudiannya diserang sawan sekitar jam 1 pagi Ahad, menyebabkan badannya kejang sebelum pasukan perubatan bertindak pantas menyelamatkan nyawanya.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas video berdurasi 13 minit yang memaparkan bayi itu menangis kesakitan tular di media sosial, mengundang simpati dan kecaman terhadap sistem rawatan kecemasan hospital berkenaan.
Mengulas keadaan terkini anaknya, Siti Aishah berkata Siti Farha masih dirawat di wad biasa kerana suhu badan belum stabil dan masih turun naik.
“Doktor beritahu Adenovirus yang dijangkiti ini tiada ubat khusus, hanya antibiotik diberi untuk bantu kuatkan antibodi. Jadi, anak saya masih perlu pemantauan rapi untuk beberapa hari lagi,” katanya.
Terdahulu, Hospital Melaka berjanji akan menyiasat dan memperbaiki kelemahan susulan insiden ini yang menurut ramai warganet bukanlah pertama kali berlaku.