KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh ahli dan pendukung parti, khususnya generasi muda, untuk bangkit memperbaharui tekad dan iltizam demi menyuburkan semangat juang parti keramat itu.
Dalam ucapannya sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-79, Zahid menegaskan bahawa UMNO telah menempuh perjalanan perjuangan yang panjang dan penuh liku sejak ditubuhkan pada tahun 1946, namun tetap teguh berdiri sebagai wadah utama rakyat.
“79 tahun bukanlah usia yang kecil. Ia lambang kematangan dan kekuatan akar perjuangan. UMNO telah melahirkan generasi pemimpin, membina institusi, menegakkan keadilan sosial dan memberi harapan kepada rakyat di kota mahupun di desa,” katanya.
Zahid turut mengingatkan bahawa UMNO lahir daripada semangat kebangsaan yang tulus, diasaskan oleh keberanian anak watan yang menolak penjajahan dan menuntut kemerdekaan.
Sejak dari itu, katanya, UMNO telah menjadi tiang seri dalam pembentukan negara bangsa Malaysia.
“Walau diuji dengan cabaran seperti perpecahan, politik fitnah dan gelombang perubahan, UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya,” tegas beliau.
Presiden UMNO itu juga menekankan peranan penting UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, sebagai tunjang kestabilan yang memperjuangkan agenda pembangunan yang inklusif dan sejahtera buat seluruh rakyat.
Beliau menyuarakan keyakinan bahawa dengan kesatuan dan keberanian, UMNO mampu melangkah ke abad kedua perjuangannya sebagai parti yang membina, bukan membinasakan.
“Insya-Allah, kita akan terus membawa UMNO ke era baru, penuh harapan dan masa depan yang lebih progresif serta adil untuk semua,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli UMNO atas kesetiaan mereka dalam mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air.