Rafizi Letak Jawatan Menteri Jika Kalah Timbalan Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya tewas mempertahankan jawatan nombor dua parti dalam pemilihan kali ini.

Dalam kenyataan ketika program Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri yang berlangsung di Dewan Serbaguna MBSJ malam tadi, Rafizi mengakui keputusan itu dibuat demi menjaga integriti serta selari dengan prinsip perjuangan politiknya.

“Kalau saya kalah, saya akan letak jawatan sebagai menteri. Saya akan kembali jadi ahli Parlimen biasa,” katanya disambut tepukan hadirin.

Rafizi kini berdepan saingan getir apabila Nurul Izzah Anwar yang mengesahkan pencalonannya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, menjadikan pertandingan ini antara dua tokoh paling menonjol dalam parti.

Rafizi bagaimanapun menyatakan tidak gusar sekiranya tewas, bahkan melihatnya sebagai peluang untuk lebih bebas bersuara dan menumpukan sepenuhnya kepada peranan sebagai wakil rakyat.

“Teruk jadi menteri. Banyak tanggungjawab, tak terbuat. Kalau saya kalah, saya lebih lega… mulut dan tangan saya tak terikat lagi,” katanya berseloroh.

Menjelaskan lebih lanjut, Rafizi berkongsi salah satu kekangan sebagai anggota Kabinet adalah terikat dengan etika pentadbiran, termasuk dalam isu kontroversi seperti pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Kalau saya tak setuju pun, saya tak boleh sebut sebab saya anggota pentadbiran. Keputusan dibuat Perdana Menteri, saya kena tutup mulut. Itu etika,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles