60% Penagih Dadah Di Malaysia Golongan Belia, Trend Meningkat

KUALA LUMPUR: Golongan belia terus mencatatkan angka tertinggi dalam statistik penyalahgunaan dadah negara, apabila 60% daripada keseluruhan penagih di Malaysia tahun lalu melibatkan individu berusia antara 19 hingga 39 tahun.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ruslin Jusoh, daripada 192,857 penagih yang ditahan pada 2024, seramai 116,245 orang adalah daripada kelompok usia belia, menunjukkan peningkatan ketara berbanding 90,520 penagih pada tahun sebelumnya.

“Data ini sangat membimbangkan kerana melibatkan tenaga muda negara. Jika tidak dibendung, ia boleh membawa kepada kerosakan sosial dan kemerosotan potensi generasi akan datang,” katanya ketika menghadiri Program Sua Mesra AADK di Gong Kemuntong, Jertih.

Ruslin turut mendedahkan bahawa majoriti penagih muda terlibat dengan pengambilan dadah sintetik, terutamanya pil yaba atau lebih dikenali sebagai pil kuda.

“Dadah sintetik mudah didapati dan murah, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan belia. Ini adalah satu realiti yang amat membimbangkan,” ujarnya.

Di Terengganu sahaja, 56% daripada 12,004 penagih yang direkodkan pada 2024 merupakan belia, bersamaan hampir 6,800 orang, menjadikan negeri ini antara yang mencatat kadar penagihan tertinggi dalam kalangan muda-mudi.

Ruslin menekankan pentingnya peranan keluarga dan institusi pendidikan dalam mencegah awal gejala penagihan dadah.

“Ibu bapa dan pihak sekolah tidak boleh lepas tangan. Pendidikan awal dan pemantauan berterusan adalah benteng utama untuk menghalang anak-anak daripada terjebak,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama semua pihak daripada komuniti, agensi kerajaan, hingga NGO diperlukan untuk mengurangkan kadar penagihan dadah dalam kalangan belia yang kini dianggap pada tahap “kritikal”.

BBerkaitan

Latest articles