KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap blogger kontroversi Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, selepas didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah dan menjadikan proses permohonan maaf sebagai bahan ejekan.
Permohonan itu difailkan selepas Papagomo menerbitkan video permohonan maaf di platform TikTok dan YouTube pada 30 April lalu, lengkap dengan muzik latar lagu klasik P. Ramlee bertajuk “Maafkan Kami”.
Peguam Razarudin, Raam Kumar menyifatkan tindakan itu bukan sekadar tidak serius, malah menghina proses kehakiman.
“Permohonan maaf tersebut lebih berupa satu persembahan sindiran. Dalam urusan mahkamah, permohonan maaf perlu bersifat ikhlas dan tanpa syarat. Sebaliknya, defendan memilih untuk mencemuh proses itu dengan muzik dan penjelasan peribadi,” katanya kepada mahkamah.
Papagomo sebelum ini diperintah oleh Mahkamah Tinggi untuk menarik balik kenyataan berbaur fitnah terhadap Razarudin dan membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat di media sosial termasuk TikTok, YouTube dan X (Twitter).
Namun, selain memuat naik video permohonan maaf yang dianggap sinis, beliau juga didakwa gagal memadamkan kenyataan asal serta gambar suntingan Ketua Polis Negara.
Tindakan itu menyebabkan mahkamah kini membenarkan prosiding komital dimulakan iaitu satu proses undang-undang yang boleh membawa kepada hukuman penjara kerana menghina mahkamah.
Ini merupakan kali kedua tindakan komital difailkan terhadap Papagomo dalam kes ini.
Kali pertama difailkan pada Januari lalu selepas beliau mengingkari perintah injunksi yang melarangnya daripada menerbitkan kenyataan fitnah terhadap Razarudin di media sosial.
Dalam saman asal difailkan pada Disember 2023, Razarudin menuntut ganti rugi RM3 juta atas dakwaan Papagomo melabelnya sebagai “pelacur banduan terhormat” dan “penjilat perdana menteri”, kenyataan yang didakwa memfitnah dan menjatuhkan reputasi beliau selaku pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh pendengaran prosiding inter-parte bagi menentukan sama ada Papagomo wajar dikenakan tindakan penjara atau denda kerana menghina mahkamah.