KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh wanita berusia 20 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas pertuduhan mendera seorang bayi berusia lima bulan di sebuah taska bulan lalu.
Tertuduh, Amirah Hajirah Mohd Farid, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh, lapor Kosmo!.
Mengikut pertuduhan, Amirah didakwa mendedahkan bayi lelaki itu kepada situasi yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal, antara jam 8.30 malam pada 8 April hingga 7 pagi keesokan harinya.
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah taska dalam kawasan kuarters Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Osman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan, antaranya tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen ditetapkan pada 13 Jun ini.