KUALA LUMPUR: Suasana politik dalaman PKR semakin hangat apabila Naib Presiden Nurul Izzah Anwar disahkan bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti akan datang.
Dalam perkembangan terbaru, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan penarikan diri daripada perebutan jawatan nombor dua selepas mengadakan perbincangan panjang dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut laporan Sinchew Daily, keputusan Saifuddin untuk tidak bertanding adalah sebagai memberi laluan kepada Nurul Izzah sekali gus menandakan kemungkinan besar satu peralihan generasi kepimpinan sedang diatur dari dalam.
Satu lagi kejutan muncul apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang sebelum ini turut menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, mengambil keputusan menarik diri selepas rundingan dalaman.
Sebagai tanda sokongan, beliau kini akan mempertahankan jawatan Naib Presiden dan dicalonkan secara langsung oleh Nurul Izzah sendiri.
Sumber dalaman parti memaklumkan pemilihan kali ini bakal menyaksikan persaingan antara dua blok utama — satu yang dilabel sebagai “kem Anwar” dan satu lagi sebagai “kem Rafizi”, merujuk kepada Timbalan Presiden sedia ada, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang masih belum menyatakan secara rasmi pendiriannya untuk mempertahankan jawatan tersebut.
Antara nama besar dalam kem Anwar yang bertanding Naib Presiden ialah Sim Tze Tzin, Datuk Seri R. Ramanan, Hee Loy Sian, Abun Sui Anyit, dan Amirudin sendiri.
Sementara kem Rafizi disertai oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang. R. Yuneswaran dan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sathia Prakash Nadarajan pula menjadi “wild card” dalam persaingan ini, dengan kedua-dua kem dilaporkan sedang berlumba-lumba untuk mendapatkan sokongannya sebagai penentu kuasa.