Juruteknik Tak Mengaku Salah Liwat Anak Tiri Di Balkoni Rumah

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik penyaman udara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meliwat anak tiri perempuannya di balkoni rumah mereka bulan lalu.

Lelaki 40 tahun itu didakwa sebagai orang yang mempunyai amanah, iaitu ayah tiri kepada kanak-kanak tersebut, melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa berusia 9 tahun 10 bulan sewaktu kejadian, tanpa kerelaan di balkoni sebuah pangsapuri di Cheras, dekat sini pada 2 pagi 8 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mengambil kira faktor dia ayah tiri mangsa dan kemungkinan mengganggu kanak-kanak itu serta saksi lain, jika jaminan dibenarkan.

“Kes ini merupakan kesalahan berat melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan tertuduh serta ibu mangsa masih suami isteri sah, terdapat kemungkinan dia akan mengganggu mangsa. Mohon mahkamah mempertimbangkan faktor ini.”

Peguam Charanpal Singh mewakili tertuduh memohon anak guamnya yang juga penanggung utama keluarga dibenarkan ikat jamin atas alasan lelaki itu perlu menghantar empat lagi anaknya berusia tujuh hingga 14 tahun ke sekolah.

“Anaknya yang berusia tujuh tahun menghidap penyakit jantung dan tertuduh bertanggungjawab menghantar anaknya mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Pihak kami juga tidak membantah sekiranya mahkamah ingin menetapkan syarat tambahan lain, sekiranya jaminan dibenarkan.”

Hakim Zulqarnain Hassan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Jun ini sebutan semula kes.

BBerkaitan

Latest articles