Bayi Koma Didera Mula Sedar, Polis Siasat Dakwaan Ditumbuk, Dihempas Ke Lantai

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang disyaki menjadi mangsa dera oleh ibu bapanya kini mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas koma akibat pendarahan dalam kepala.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan bayi tersebut yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Melaka telah sedar dan mula minum susu melalui tiub sekitar jam 5 petang tadi.

“Alhamdulillah, walaupun masih lemah, bayi menunjukkan perubahan positif,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Dipercayai bayi tersebut bukan sahaja mengalami pendarahan serius dalam otak, malah turut menunjukkan kesan lebam, luka pada badan dan leher, dipercayai akibat didera secara kejam.

Menurut sumber, bayi malang itu dipercayai telah ditumbuk di bahagian dada dan dihempas ke lantai gara-gara terlalu kerap menangis.

Ibunya yang berusia 22 tahun kemudian membawa bayi itu ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri, mendakwa anaknya mengalami sawan.

Bagaimanapun hasil imbasan CT di Hospital Melaka mendedahkan wujudnya pendarahan lama dan baru di dalam kepala serta pelbagai kesan fizikal yang membawa kepada syak kuat berlaku penderaan.

Susulan laporan doktor, polis bertindak menahan kedua ibu bapa mangsa di hospital malam semalam.

Kedua-duanya kini direman tujuh hari sehingga 13 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pasangan muda yang turut dilaporkan tidak mempunyai pekerjaan tetap, sedang disiasat atas tuduhan mendera anak tunggal mereka di kediaman di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah.

BBerkaitan

Latest articles