KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan kenyataan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin yang menyarankan agar MCA dibubar dan menyertai DAP bukanlah pendirian rasmi parti itu.
Menurut Loke, kenyataan tersebut hanyalah pandangan peribadi Chong dan tidak pernah dibincangkan di peringkat parti.
“Pertamanya, ini bukan pendirian parti dan yang kedua, saya tak nampak ada kemungkinan seperti itu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Sebelum ini, Chong dalam satu kenyataan menyarankan agar MCA mempertimbangkan untuk dibubarkan dan bergabung dengan DAP sekiranya masih mahu memperjuangkan nilai majmuk dalam politik negara.
Beliau turut mendakwa MCA kini tidak lagi mewakili masyarakat Cina secara efektif dan hanya memenangi dua kerusi Parlimen hasil sokongan pengundi Umno dalam pilihan raya umum lalu.
Kenyataan itu mencetuskan pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan penyokong parti komponen Barisan Nasional (BN), yang melihat cadangan tersebut sebagai tidak realistik dan mencampuri urusan dalaman parti lain.
Dalam pada itu, Loke menyeru semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen DAP untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak mengundang salah faham atau ketegangan dalam hubungan antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan.