KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan telah menyerahkan kes kehilangan seorang wanita dikenali sebagai Pamelia Ling Yueh kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Menurut kenyataan rasmi SPRM, wanita berusia 42 tahun itu sepatutnya hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April lalu bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
“Bagaimanapun, wanita terbabit gagal hadir seperti dijadualkan, dan peranti komunikasinya juga gagal dihubungi oleh pegawai SPRM,” kata kenyataan itu.
Susulan kehilangan tersebut, peguam kepada Pamela telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
SPRM menegaskan agar semua pihak tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan bahawa polis belum menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan wanita berkenaan walaupun siasatan sedang giat dijalankan.
Beliau juga memaklumkan bahawa seramai 12 individu, termasuk pegawai SPRM dan peguam kepada Pamela, telah dipanggil untuk memberi keterangan, dan setakat ini tiada tuntutan wang tebusan diterima oleh keluarga mangsa.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk hadir memberi keterangan kepada SPRM.
Ahli keluarganya mendakwa kenderaan e-hailing yang dinaiki wanita itu telah dihentikan oleh beberapa kenderaan tidak dikenali, sebelum Pamela dilihat dibawa masuk ke salah sebuah kereta tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat.