Rangka Manusia Ditemui, Disyaki Milik Lelaki Hilang Tahun Lalu

KUALA LUMPUR: Suasana tenang di Felda Bukit Mendi gempar apabila seorang lelaki menemui rangka dan tengkorak manusia ketika membersihkan semak-samun di kawasan belakang sebuah rumah, semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pada mulanya lelaki terbabit menyangka objek yang dijumpai hanyalah patung.

Namun, selepas diamati dengan lebih teliti, dia menyedari ia adalah rangka manusia yang sebenar.

“Pengadu mulanya was-was sama ada rangka itu patung atau manusia, sebelum memaklumkan kepada rakannya dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penemuan tersebut berlaku kira-kira 100 meter dari sebuah rumah penduduk di kawasan Felda Bukit Mendi.

Rangka berkenaan ditemui dalam keadaan berselerak bersama cebisan pakaian seperti baju, seluar, dan jaket, selain sebuah telefon bimbit turut dijumpai di lokasi.

Kawasan kejadian merupakan tanah rizab Felda dan berpaya, di mana pengadu sedang melakukan kerja meracun semak ketika penemuan mengejut itu berlaku.

Susulan laporan tersebut, pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan menghantar rangka terbabit ke Unit Forensik Hospital Bera bagi tujuan ujian DNA untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Siasatan awal turut menjurus kepada kemungkinan rangka itu milik seorang lelaki berusia 48 tahun yang pernah dilaporkan hilang di kawasan yang sama pada Julai tahun lalu.

“Setakat ini, keluarga lelaki yang hilang itu memaklumkan pakaian yang ditemui berhampiran rangka berkenaan menyerupai milik mangsa,” kata Zulkiflee.

Polis kini menunggu hasil ujian forensik dan pengesahan identiti bagi menentukan punca kematian serta kaitan dengan laporan orang hilang tersebut.

BBerkaitan

Latest articles