KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan kenyataan Datuk Chong Sin Woon berhubung ketidaktentuan hala tuju Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan hanyalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi MCA mahupun gabungan BN secara keseluruhan.
Asyraf berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Agung MCA itu yang menyuarakan kekecewaan akar umbi berikutan kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH), yang didakwanya tidak jelas dan merugikan BN.
“Itu hanya sebahagian daripada pandangan peribadi… itu biasa. Walau bagaimanapun kita raikan perbezaan pandangan.
“Kita berpegang kepada prinsip dan orientasi. Selagi kepimpinan tertinggi parti tidak menyuarakan perkara sedemikian, ia tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi mana-mana parti dalam BN,” katanya ketika ditemui media semasa program Riang Ria Rumah Terbuka Terlajak Raya Aidilfitri anjuran Exco Johor di Arena Larkin, semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Md Shah dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.
Terdahulu, kenyataan Chong Sin Woon mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemimpin Pemuda kedua-dua parti apabila Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyifatkan kenyataan itu sebagai gagal memahami kepentingan kerjasama BN–PH dalam konteks kestabilan negara.
Kenyataan Noor Azleen itu kemudiannya dibidas oleh Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li yang mendakwa gabungan itu hanya ‘melumpuhkan BN dari dalam’ dan menggesa agar BN tidak terus ‘terperangkap dalam permainan politik PH’.
Mengulas lanjut, Asyraf menegaskan bahawa BN tetap mempunyai hala tuju yang jelas dan berpegang kepada prinsip-prinsip perjuangannya, termasuk mempertahankan nilai kemajmukan yang menjadi asas kepada perpaduan dan kestabilan negara.
“Itulah hala tuju parti-parti dalam komponen BN. Kalau itu bukan hala tuju BN, apa lagi nak dikatakan?” tegasnya.
Asyraf turut menekankan bahawa perpaduan dalam kalangan komponen BN harus dipelihara demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara terus terjamin.