Bakal Pengantin Maut Dalam Kemalangan, Tunang Terselamat

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini maut dalam kemalangan melibatkan kenderaan yang dinaiki bersama tunangnya di Kilometer 93.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, pagi tadi.

Mangsa, Siti Nur Syamira Samsol, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk penumpang dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, manakala tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid, 30, terselamat.

Difahamkan, pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah ibu mangsa di Kampung Benaung, Mersing untuk membuat persiapan akhir menjelang hari bahagia mereka yang dirancang Sabtu ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi dan segera menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza yang dipercayai terbabas sebelum melanggar penghadang jalan. Pemandu lelaki tidak tersepit, namun penumpang wanita tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BBerkaitan

Latest articles