KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan membuang hempedu di Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, Suhaizan yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak malam Isnin selepas mengalami penurunan paras oksigen akibat jangkitan kuman, telah berjaya menjalani prosedur pembedahan pada hari ini.
“Amanah Johor bersyukur kerana keadaan Suhaizan Kaiat semakin baik selepas prosedur pembedahan buang hempedu. Kami berterima kasih kepada pasukan perubatan dan semua pihak yang memainkan peranan dalam menjaga beliau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Aminolhuda, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk petugas Amanah, pegawai Parlimen Pulai, ketua masyarakat serta individu perseorangan yang membantu dalam memastikan keselamatan dan kesihatan Suhaizan terjaga sepanjang tempoh rawatan.
Amanah Johor juga menghargai keprihatinan rakan-rakan seperjuangan Suhaizan termasuk Konsul Jeneral Republik Singapura, Ng Kuan Khai; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong serta beberapa pemimpin tempatan lain yang turut memberikan sokongan.
Sementara itu, Amanah Johor menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih berhubung tahap kesihatan Suhaizan.
“Penyebaran maklumat tidak tepat hanya menimbulkan panik dan mencetuskan pelbagai persepsi mengelirukan,” tegas kenyataan itu.
Suhaizan, yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Naib Pengerusi Amanah Johor, kini dilaporkan stabil tetapi masih memerlukan pemantauan rapi daripada pihak hospital.