KUALA LUMPUR: Draf Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 telah disiapkan dan dijangka dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang pada Jun, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Menurut Sim, Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan kajian menyeluruh termasuk sesi libat urus bersama lebih 3,000 pihak berkepentingan bagi memastikan keperluan pekerja gig diambil kira secara holistik.
“Kami menerima input secara atas talian serta mengadakan sesi town hall mega. Setakat ini, lebih 3,000 pemegang taruh telah dirujuk,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Beliau menyeru agar semua pihak memberikan sokongan kepada kerajaan dalam usaha membentangkan dan meluluskan RUU tersebut demi memperjuangkan hak dan perlindungan pekerja ekonomi gig.
“Jangan menghalang kerajaan membela nasib pekerja gig kita,” tegasnya.
RUU Pekerja Gig 2025 sebelum ini telah dua kali ditangguhkan pembentangannya — pada Disember 2024 dan Mac 2025 — susulan gesaan beberapa syarikat dalam sektor ekonomi gig agar kerajaan memperhalusi kandungannya agar lebih jelas, praktikal dan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Antara intipati utama RUU ini ialah Pengenalan definisi rasmi pekerja gig; Penetapan pampasan minimum; Mekanisme aduan yang jelas dan Perlindungan keselamatan sosial, termasuk sumbangan mandatori kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
RUU ini dilihat sebagai langkah penting dalam mengiktiraf dan melindungi hampir sejuta pekerja gig di Malaysia yang terlibat dalam pelbagai sektor seperti penghantaran makanan, e-hailing, serta kerja bebas digital.