“Saya Tak Sengaja” – Lelaki Nigeria Didakwa Gigit Telinga Polis Hingga Putus

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nigeria hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan seorang anggota polis dengan menggigit sebahagian telinga kiri mangsa hingga putus dalam kejadian di Metro Prima, Kepong.

Tertuduh, Okenyehhike Kelvin Obianke, 38, yang juga penuntut sebuah kolej, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret S. Mageswary.

“Saya tidak sengaja, saya mengaku tidak bersalah,” kata tertuduh ketika memberi respons terhadap pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan, Okenyehhike didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Koperal Danierul Azraq Ahmad Khair, 36, dengan menggigit cuping telinga kiri mangsa dalam kejadian jam 10.10 pagi, 25 April lalu, di hadapan sebuah premis di Metro Prima.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret lain, Okenyehhike turut berdepan dua lagi pertuduhan – termasuk berada di negara ini tanpa dokumen sah dan penyalahgunaan dadah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa tidak memiliki dokumen perjalanan sah ketika ditahan di lokasi, tarikh dan waktu sama, di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000, dipenjara maksimum lima tahun dan dikenakan tidak lebih enam sebatan.

Selain itu, dia turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis nimetazepam (Benzo) ke dalam badan ketika berada di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sentul pada pukul 3 pagi, 26 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Majistret Atiqah Mohamed menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes berkaitan dadah dan imigresen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad dan Nurainizatul Farhana Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Minggu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa mengesahkan seorang anggota Unit MPV IPD Sentul putus sebahagian telinga kiri selepas digigit suspek ketika cuba menahannya di luar sebuah klinik di Jalan Kepong.

Kejadian berlaku ketika polis cuba mengiringi suspek masuk ke dalam kenderaan peronda, namun lelaki itu tiba-tiba bertindak ganas walaupun dalam keadaan bergari, lalu menggigit telinga mangsa hingga putus sebahagian.

Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut, manakala suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian.

BBerkaitan

Latest articles