KUALA LUMPUR: Seorang lelaki penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya dalam satu insiden tragis di Kampung Sungai Penchala pada Disember 2023 disahkan tidak mengalami sebarang penyakit mental dan layak untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Laporan psikiatri forensik yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi hari ini mengesahkan Afendi Muhammad Agus, 44, berada dalam keadaan mental yang waras semasa kejadian dan sedar akan kesalahan yang dilakukan.
Laporan bertarikh 7 Februari lalu itu disediakan oleh Pakar Psikiatri Forensik Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Allan Sia Ting Chan dan dikemukakan oleh pihak pendakwaan di hadapan Hakim K. Muniandy.
“Semasa kejadian yang didakwa dilakukannya, Afendi berada dalam keadaan mental yang waras dan sedar akan sifat dan akibat pengakuannya serta mampu mengetahui tindakan itu salah di sisi undang-undang,” menurut laporan tersebut.
Lelaki itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 28 November 2024 di bawah Seksyen 342(3) Kanun Prosedur Jenayah dan telah menjalani pemerhatian rapi selama 24 jam sehari sepanjang tempoh tersebut.
Menurut laporan itu lagi, Afendi tidak menunjukkan sebarang gejala halusinasi, delusi, kemurungan atau kesan pengambilan dadah, dan fungsi kognitifnya adalah normal ketika kejadian berlaku.
Ketika pemerhatian dijalankan, tertuduh memberikan kerjasama baik, tidak menunjukkan tingkah laku agresif atau kecenderungan membunuh diri, serta mampu menjalani kehidupan harian secara berdikari.
Peguam yang mewakili tertuduh, Mohd. Ruzaini Zulkifli mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengakuan bersalah anak guamnya akan diteruskan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah memberitahu bahawa fakta kes telah lengkap, namun pihak pendakwaan masih belum bersedia untuk mengemukakan barang kes di mahkamah.
Hakim Muniandy kemudian menetapkan 20 Mei ini sebagai tarikh pembentangan fakta kes dan bagi menjatuhkan hukuman terhadap Afendi.
Pada 27 November 2024, mahkamah telah memerintahkan Afendi menjalani pemeriksaan mental untuk memastikan pengakuan bersalah yang dibuat pada 6 September 2024 adalah dalam keadaan waras dan secara sukarela.
Afendi didakwa membunuh kedua ibu bapanya, Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Brickfields pada 9 Disember 2023 sekitar jam 7.10 hingga 7.20 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa pasangan warga emas itu ditemukan mati dengan kesan tikaman di ruang tamu kediaman mereka selepas berlaku pertengkaran dengan anak lelaki mereka.