KUALA LUMPUR: Seorang pemuda berusia 19 tahun yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Februari lalu, akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan kesihatan mental.
Permohonan itu dikemukakan oleh peguam tertuduh, Lingswaran Singh, di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini, memohon supaya anak guamnya, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital kerajaan.
Hakim Norshila Kamarudin membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan pakar psikiatri, laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian.
Menurut Lingswaran, hasil pemerhatian terhadap tingkah laku anak guamnya serta interaksi dengan ibu tertuduh dan laporan psikologi bertarikh 15 Julai 2022 daripada sebuah universiti awam menunjukkan kemungkinan besar tertuduh mengalami masalah kewarasan.
“Tertuduh menunjukkan tingkah laku atau mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keraguan munasabah bahawa kemungkinan besar dia mengalami masalah kewarasan dan tidak berupaya untuk membela diri,” katanya di mahkamah.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memaklumkan bahawa pihak pendakwaan masih menunggu laporan CCTV dan laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang.
Sementara itu, Lingswaran memberitahu media bahawa keputusan penilaian pakar psikiatri akan menentukan sama ada pihak pembelaan akan mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.
Pada 27 Mac lalu, Muhamad Adam Haiqal menukar pengakuannya kepada tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lapan bulan di sebuah masjid sekitar pukul 6.20 pagi, 21 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh sebelum ini dibenarkan ikat jamin RM15,000 oleh mahkamah, namun masih belum membayarnya.
Kejadian itu mendapat perhatian meluas selepas rakaman CCTV tular di media sosial, menunjukkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk mangsa yang sedang sujud ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.