KUALA LUMPUR: Continental mengumumkan akan menghentikan operasi pembuatan tayar di kilangnya di Alor Setar, Kedah menjelang penghujung tahun 2025, sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula strategik di rantau Asia-Pasifik (APAC).
Dalam kenyataan hari ini, syarikat berpangkalan di Jerman itu berkata keputusan ini dibuat selepas semakan perniagaan secara terperinci bertujuan melindungi daya saing serta prestasi syarikat di pasaran serantau.
Kilang Alor Setar yang mula beroperasi pada 20 Disember 1979 itu menghasilkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan dan motosikal, dengan seramai 950 pekerja terlibat.
Sejak Mei 2012, kilang ini beroperasi sebagai anak syarikat milik penuh Continental.
Continental memberi jaminan bahawa mereka akan memberikan sokongan kepada para pekerja yang terjejas, termasuk kaunseling kerjaya dan bantuan dalam meneroka peluang pekerjaan lain sama ada dalam syarikat atau di luar.
“Malaysia kekal sebagai pasaran utama untuk Continental di Asia-Pasifik,” menurut kenyataan tersebut, sambil menambah bahawa hubungan jangka panjang dengan pelanggan dan rakan niaga tetap menjadi keutamaan.
Syarikat itu juga menekankan bahawa walaupun operasi di Alor Setar ditutup, Continental akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan melalui rangkaian kilangnya di rantau ini, termasuk di Hefei (China), Rayong (Thailand), Modipuram (India), Kalutara (Sri Lanka) dan Petaling Jaya (Malaysia).
Langkah ini, menurut Continental, turut bertujuan mengoptimumkan portfolio produk tempatan serta menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pelanggan.