KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pendengaran permohonan perintah larangan bersuara (gag order) berhubung isu Titah Adendum dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan pada pagi tadi telah membenarkan rayuan Peguam Negara untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membolehkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman.
Susulan perkembangan itu, mahkamah turut menggantung sementara prosiding berkaitan usaha Najib untuk menguatkuasakan perintah diraja yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Persekutuan kini telah menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan tersebut.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh pengurusan kes.
Tindakan penangguhan ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan Peguam Negara merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini, yang membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum itu dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang kononnya membenarkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah, berkaitan sabitan kes SRC International Sdn Bhd yang membabitkan dana RM42 juta.
Untuk rekod, Timbalan Ketua Bahagian Sivil Jabatan Peguam Negara (AGC), Shamsul Bolhassan, sebelum ini mengesahkan bahawa permohonan ‘gag order’ telah difailkan pada 20 Januari lalu melalui sistem e-Filing.
AGC mengemukakan permohonan tersebut atas alasan untuk melindungi institusi diraja, memandangkan isu ini menyentuh perkara sensitif dalam kategori 3R; Raja, Agama, dan Kaum.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Beliau sebelum ini memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, dan Lembaga Pengampunan seterusnya mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Mahkamah Tinggi pada 3 Julai tahun lalu menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum, namun Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan beliau selepas itu, membuka ruang kepada prosiding lanjut di peringkat lebih tinggi.