KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan Datuk Seri Najib Razak mencabar titah adendum berkaitan pengurangan hukuman penjaranya.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Mahkamah bersetuju bahawa tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Mohd. Dusuki menyentuh isu kepentingan awam dan belum pernah diputuskan oleh mahkamah tertinggi sebelum ini.
Kebenaran rayuan ini memberi laluan kepada pendengaran penuh di Mahkamah Persekutuan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Terdahulu, Mohd. Dusuki memohon kebenaran merayu bagi mengetepikan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang memutuskan semakan kehakiman Najib berkaitan titah adendum perlu didengar di Mahkamah Tinggi.
Pada 6 Januari lalu, panel Mahkamah Rayuan membenarkan Najib mencabar kewujudan titah adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman enam tahun penjaranya dalam tahanan rumah.
Najib kini menjalani hukuman selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. Beliau mula dipenjara pada 23 Ogos 2022 dan kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja.
Pada Februari lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.