KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis peronda (MPV) cedera parah selepas sebahagian telinga kirinya putus akibat digigit oleh seorang lelaki warga Nigeria dalam satu insiden agresif di Jalan Kepong, Metro Prima, pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.03 pagi apabila anggota polis berpangkat koperal itu menerima panggilan kecemasan mengenai gangguan yang dilakukan oleh seorang lelaki warga asing di sebuah klinik berhampiran.
“Hasil siasatan mendapati suspek berusia 38 tahun bertindak membuat kacau di klinik dan berjaya ditahan oleh anggota dari Balai Polis Kepong,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Insiden berlaku ketika suspek sedang dibawa masuk ke dalam kenderaan peronda untuk dibawa ke balai, dengan tangannya bergari. Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba bertindak menggigit telinga kiri anggota polis tersebut sehingga terputus.
“Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut, manakala suspek berjaya ditahan di tempat kejadian,” tambah Rusdi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 325 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada penjawat awam serta menghalang tugas penjawat awam.
Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini.
Polis menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas atau mencederakan anggota keselamatan yang sedang menjalankan tugas.