31,281 Pengundi DUN Ayer Kuning Tunai Tanggungjawab Hari Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 31,281 pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan menunaikan tanggungjawab masing-masing hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran telah dibuka seawal jam 8 pagi bagi membolehkan proses pengundian berjalan lancar.

Pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tandewa Sakti akan ditutup lebih awal pada jam 4 petang, manakala 18 pusat selebihnya akan beroperasi hingga jam 6 petang.

PRK ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek; dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. Ketiga-tiga calon dijadualkan mengundi di pusat berlainan di sekitar Ayer Kuning.

Seramai 113 anggota polis dan tiga pengundi luar negara telah menerima kertas undi pos yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 April lalu.

Proses pengundian awal pula telah berlangsung dengan lancar pada 22 April, melibatkan dua pusat mengundi iaitu di Dewan Anggerik, IPD Tapah dan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor. Kehadiran mencecah 93.4 peratus.

Kerusi DUN Ayer Kuning kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 12 April, diikuti pengundian awal pada 22 April, dan hari pengundian utama pada 26 April.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam menewaskan empat pencabar dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi, memperoleh 9,088 undi berbanding calon PH (6,875), PN (6,812), Pejuang (105) dan PSM (586).

Keputusan rasmi PRK DUN Ayer Kuning dijangka diumumkan malam ini selepas semua pusat mengundi ditutup dan proses pengiraan undi selesai.

BBerkaitan

Latest articles