BN Tiada Masalah Kekal Kerusi Di Ayer Kuning – Ilham Centre

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dijangka mampu mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada esok.

Bagaimanapun, Ilham Centre menjangkakan gabungan itu mungkin berdepan sedikit kesukaran memperoleh 18,000 undi yang ditetapkan.

Dalam laporan terbaharu mengenai pola pengundi dan prediksi PRK Ayer Kuning, badan pemikir itu berkata sasaran tinggi yang diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi tekanan langsung kepada jentera kempen BN dan rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun BN dijangka mengekalkan kemenangan, majoriti responden melihat sasaran 18,000 undi sebagai sukar dicapai. Ini meletakkan tanggungjawab besar kepada jentera gabungan untuk membuktikan keberkesanan kerjasama mereka,” menurut laporan tersebut.

PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek; dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), KS Bawani.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi, menewaskan PH (6,875), PN (6,812), Pejuang (105) dan PSM (586) dalam pertembungan lima penjuru.

Ilham Centre turut menekankan bahawa PRK ini menjadi medan penting bagi PN untuk menguji kemampuan mengekalkan pengaruh mereka, khususnya di kalangan pengundi Melayu muda yang menjadi tonggak sokongan parti itu pada PRU lalu.

“Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi yang sama seperti PRU15, itu sudah dianggap pencapaian besar,” kata laporan tersebut.

Secara keseluruhan, PRK Ayer Kuning dilihat sebagai penanda aras kritikal untuk menilai keberkesanan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, kekuatan sebenar PN dalam kalangan pengundi muda Melayu, serta pengaruh peribadi calon terhadap keputusan pilihan raya dan hala tuju politik setempat menjelang pilihan raya akan datang.

BBerkaitan

Latest articles