Kerjasama Dengan DAP Bukan Lagi ‘Mimpi Ngeri’ Orang Melayu

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Mohamad menegaskan bahawa kerjasama dengan DAP bukan lagi dianggap sebagai ‘mimpi ngeri’ yang menyebabkan orang Melayu menolak Barisan Nasional (BN), termasuk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

Menurut beliau, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP tidak menimbulkan sebarang isu penafian hak kaum tertentu atau cubaan menggugat kedudukan perlembagaan, seperti yang sering diperkatakan.

“Isu kononnya DAP menafikan hak orang Melayu tidak berbangkit. Saya sendiri berada di Kementerian Sumber Manusia bersama Steven Sim (DAP), dan kami banyak memperjuangkan hak Melayu serta membantu semua rakyat tanpa mengira kaum,” katanya ketika ditemui media semasa membantu kempen calon BN, Yusri Bakir di Ayer Kuning semalam.

Tambah Abdul Rahman, yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Lipis, pengalaman bekerjasama dengan pemimpin DAP seperti Steven Sim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menunjukkan bahawa parti itu kini lebih inklusif dan jauh berbeza daripada persepsi lama.

“DAP sekarang bukan DAP zaman dulu. Mereka berada dalam era baharu. Tiada istilah ‘UmDAP’ kerana kami semua di bawah satu bumbung Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa pengundi di Ayer Kuning tidak akan mudah terpengaruh dengan sentimen dimainkan pembangkang yang sering mengulang naratif lama berkaitan DAP dan UMNO.

PRK Ayer Kuning yang akan berlangsung Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek; dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), KS Bawani.

BBerkaitan

Latest articles