Isu Jalur Gemilang: Tiada ‘Double Standard’, Yang Salah Tetap Salah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada sebarang layanan dua darjat akan diberikan dalam siasatan berhubung insiden kesilapan paparan Jalur Gemilang yang disifatkan sebagai mencemar simbol kedaulatan dan maruah negara.

Menurut beliau, prinsip keadilan akan ditegakkan tanpa mengira pihak yang terlibat sama ada media tempatan, syarikat antarabangsa mahupun agensi kerajaan.

Penegasan itu disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), susulan insiden terbaharu melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memaparkan bendera tidak tepat dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024.

“Prinsip keadilan dan hormat kepada simbol negara mesti ditegakkan oleh semua tanpa pengecualian. Sama ada kesilapan itu berlaku secara sengaja atau tidak, ia tetap menyentuh sensitiviti nasional dan tidak boleh dipandang ringan,” ujar Anwar dalam kenyataan itu.

KPM dalam kenyataan berasingan telah memohon maaf atas insiden berkenaan dan memaklumkan bahawa tindakan tegas serta-merta telah diambil terhadap semua yang terlibat.

Kementerian turut mengakui kecuaian tersebut tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.

Terdahulu, kesilapan serupa turut dikesan dalam penerbitan sebuah akhbar berbahasa Cina serta acara jualan barangan bayi, TCE Baby Expo, apabila Jalur Gemilang dipaparkan tanpa bulan sabit.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa meskipun inovasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang dalam pelbagai sektor termasuk media, pendidikan dan perniagaan, ia tidak boleh menggantikan tanggungjawab manusia dalam semakan bahan yang bersifat sensitif.

“AI adalah alat yang hebat tetapi jika digunakan secara cuai, ia boleh mengundang implikasi besar terhadap keharmonian dan perpaduan negara. Setiap bahan yang melibatkan simbol negara mesti melalui semakan teliti dengan semangat hormat dan tanggungjawab bersama,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles