KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekali lagi menjadi tumpuan susulan insiden terbaharu melibatkan paparan Jalur Gemilang yang tidak sempurna, hanya beberapa hari selepas isu serupa melibatkan akhbar Sin Chew Daily mencetuskan kecaman awam.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Mohd Razlan Muhammad Rafii, dalam satu kenyataan media hari ini melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap apa yang disifatkan sebagai kegagalan institusi sebesar KPM dalam menjaga simbol kedaulatan negara.
“Paparan Jalur Gemilang yang tidak sempurna bukan sekadar kesilapan teknikal, tetapi mencerminkan kegagalan tanggungjawab yang boleh menjejaskan maruah negara dan kredibiliti kerajaan secara keseluruhan,” katanya.
Mohd Razlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Seputeh menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau pihak dalam rantaian kerja yang terlibat — termasuk syarikat penerbitan, pihak editorial dan individu berkaitan.
“Saya mahu pihak yang terlibat dikenakan tindakan, termasuk disenaraihitamkan jika perlu. KPM mesti menyiasat secara menyeluruh dan mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun negara sedang pesat mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI), kerajaan tidak boleh dilihat lemah atau sambil lewa dalam hal yang melibatkan lambang kebangsaan.
“Ini bukan soal remeh yang boleh diselesaikan dengan permohonan maaf semata-mata. Ini soal maruah negara, soal integriti penjawat awam, dan soal semangat nasionalisme terhadap simbol kedaulatan kita,” katanya lagi.
Mohd Razlan turut menggesa agar laporan siasatan disiarkan kepada umum sebagai komitmen kerajaan terhadap prinsip ketelusan dan tanggungjawab awam.
Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon maaf atas kesilapan dalam pemaparan Jalur Gemilang yang terdapat dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan.
Dalam satu kenyataan rasmi, KPM memaklumkan bahawa tindakan tegas dan serta-merta telah diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam insiden tersebut.
Pada masa yang sama, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kecuaian.
“Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara,” tegas kenyataan itu.