KUALA LUMPUR: Tak padan dengan tua – itu adalah ayat yang sesuai diberikan kepad seorang warga emas yang direman tujuh hari kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga anak jirannya, Isnin lalu.
Perintah reman ke atas suspek berusia 62 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin bermula hari ini sehingga 30 April.
Ia membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi 21 April lalu ketika mangsa, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun keluar seorang diri untuk membuang sampah di rumah sampah sebuah pangsapuri di Tengkera.
“Ketika mangsa sedang menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya, dia terserempak dengan warga emas terbabit yang tinggal di tingkat dua sebelum lelaki itu mengajak mangsa menemaninya ke rumah sampah pangsapuri berkenaan.
“Apabila tiba di situ, suspek tiba-tiba mencium pipi, memeluk dan menyelak baju mangsa sebelum mengajaknya untuk makan bersama namun kanak-kanak itu menolak pelawaan suspek,”katanya.
Tambahnya, mangsa yang terkejut kemudian berlari ke pondok pengawal keselamatan pangsapuri untuk menceritakan kejadian itu kepada petugas di situ.
“Pengawal keselamatan kemudian memaklumkan perkara itu kepada ibu mangsa berusia 45 tahun pada keesokan harinya sebelum ibunya membuat laporan polis pagi semalam.
“Hasil siasatan polis mendapati terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya lagi.