KPM Mohon Maaf Atas Kesilapan Papar Jalur Gemilang Dalam Laporan Analisis Keputusan SPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memohon maaf atas kesilapan dalam pemaparan Jalur Gemilang yang terdapat dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan.

Dalam satu kenyataan rasmi, KPM memaklumkan bahawa tindakan tegas dan serta-merta telah diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam insiden tersebut.

Pada masa yang sama, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kecuaian.

“Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara,” tegas kenyataan itu.

Menurut KPM, semua salinan laporan analisis yang telah dicetak telah diminta untuk dikembalikan semula dan proses pembetulan sedang dilakukan dengan segera.

Kementerian turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan perkara seumpama ini tidak berulang demi menjaga imej dan maruah negara.

BBerkaitan

Latest articles