Pukul Ibu Uzur Kerana Enggan Mengurut, Lelaki Dipenjara 24 Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki penganggur dijatuhi hukuman penjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Penampang selepas mengaku bersalah memukul ibu kandungnya yang berusia 81 tahun hanya kerana wanita itu berhenti mengurut badannya akibat keletihan.

Tertuduh, Azmi @ Andrew Ghani, 46, mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibunya dalam kejadian yang berlaku pada 17 April lalu, kira-kira jam 2 hingga 3 petang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tunoh.

Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum, iaitu dua tahun, denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Marilyn Kelvin ketika menjatuhkan hukuman dimaklumkan bahawa kejadian bermula selepas mangsa yang baru pulang daripada mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Penampang diminta oleh tertuduh untuk mengurut badannya.

Walaupun dalam keadaan uzur, mangsa tetap memenuhi permintaan anaknya, namun terpaksa berhenti kerana lenguh dan sakit tangan.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh berang lalu bertindak memukul muka ibunya hingga wanita itu terjatuh dan terbaring di lantai.

Tertuduh kemudian terus menendang dan memijak perut serta tubuh mangsa.

Keesokan harinya, mangsa menghubungi ambulans dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.

Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami lebam pada muka dan badan akibat perbuatan tertuduh.

Pihak hospital kemudian membuat laporan polis.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan, namun Pegawai Pendakwa, Inspektor Yusdi Basri, memohon hukuman berat dikenakan memandangkan mangsa adalah ibu kandung tertuduh yang sudah lanjut usia.

Yusdi turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau yang sama pada tahun 2020.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan sebagai pengajaran terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan tertuduh.

BBerkaitan

Latest articles