Pengundi DUN Ayer Kuning Diingatkan Pilih Yang Layak, Faham Agama Untuk Menang

KUALA LUMPUR: Para pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning diingatkan memilih calon yang benar-benar layak, terutama dalam hal ehwal agama Islam.

Merujuk kepada kenyataan kontroversi dari PAS berhubung penangguhan ibadah haji dan umrah, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Teluk Intan, Zulfadzli Hisham Abu Zahni menegaskan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak boleh menyalah guna fakta sejarah Islam demi meraih sokongan pengundi.

“Dalam konteks ini, penangguhan ibadah haji dan umrah dalam Perjanjian Hudaibiyah merupakan satu strategi bijak yang membawa manfaat besar kepada umat Islam, meskipun pada zahirnya tampak seperti satu kerugian.

“Walaupon Rasullulah SAW dan para sahabat telah berniat suci untuk menunaikan umrah, mereka menerima syarat penangguhan tersebut demi menjaga keamanan dan membuka ruang perdamaian.

“Dakwaan yang menggunakan tindakan Nabi Muhammad SAW menangguhkan ibadah umrah dalam perjanjian Hudaibiyah sebagai “modal politik” adalah tidak wajar dan menyeleweng daripada konteks sebenar sejarah Islam.

“Tindakan Baginda bukanlah keputusan bermotif politik peribadi atau kepentingan duniawi, sebaliknya ia adalah keputusan berpandukan wahyu dan kebijaksanaan sebagai pemimpin ummah,” katanya kepada The Rakyat Insight.

Sehubungan itu, Zulfadzli menegaskan, Abdul Hadi selaku pemimpin yang pernah menjadi Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) suatu ketika dahulu dan terkenal dengan latar belakang agamanya, tidak boleh sewenang-wenangnya berhujah tanpa fakta kerana ia boleh mengelirukan orang ramai, terutama dalam kalangan umat Islam.

Beliau turut mengingatkan pihak lawan berkempen dan berpolitik secara matang kerana cara itulah yang akan menambah hati pengundi.

“Menggunakan peristiwa ini untuk menyokong tindakan politik yang bertentangan dengan prinsip keadilan, amanah atau kepentingan rakyat adalah satu bentuk manipulasi terhadap sejarah Islam.

“Berkempenlah dengan cara yang matang dan tidak memanipulasi mana-mana sirah Nabawiyyah atau dalil tertentu demi selera politik.

“Negara masih belum reda dengan isu Jalur Gemilang tanpa simbol bulan diperkatakan, kini muncul pula isu menggunakan dalil atau sirah demi kepentingan politik,” tegasnya.

Sabtu lalu, Abdul Hadi ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat, beliau menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.

Merujuk kepada pengajaran daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW, beliau menegaskan penguasaan politik umat Islam ke atas penganut agama lain merupakan ketentuan Allah SWT.

Abdul Hadi mendakwa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.

“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun…nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.

“(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh.

“Kuasa politik yang tinggi mesti orang Islam.

“Allah tak izin orang bukan Islam atasi orang Islam dalam pemerintahan negara,” demikian memetik ucapannya ketika berkempen baru-baru ini.

BBerkaitan

Latest articles