KUALA LUMPUR: Seorang imam masjid warga Thailand direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana disyaki meliwat dan mencabul seorang kanak-kanak lelaki sejak berusia 10 tahun, tiga tahun lalu.
Majistret Uthman Abd Ghani mengeluarkan perintah itu terhadap lelaki berusia 28 tahun itu bermula hari ini sehingga 29 April ini.
Ia membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Menurut sumber, laporan dibuat ibu mangsa berusia 35 tahun selepas anaknya berusia 13 tahun itu menghubunginya pada 14 April lalu untuk pulang dan tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.
“Ketika itulah, kejadian terbongkar apabila mangsa menceritakan menjadi mangsa cabul dan liwat guru agamanya yang juga imam dan ustaz sejak berusia 10 tahun sehinggalah dia di bawa berpindah ke sebuah masjid di Bukit Rambai, Melaka tahun lalu.
“Mangsa mendakwa, kejadian pertama berlaku pada waktu malam sekitar bulan Ogos 2022 dalam sebuah kelas akademi al-Quran di Perak ketika mangsa mengikuti pengajian di sana,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun sejak tahun lalu, suspek membawa mangsa tinggal bersamanya di masjid di Bukit Rambai kononnya untuk meneruskan pengajian di masjid berkenaan tanpa pengetahuan ibunya.
Sumber berkata, bagaimanapun tiada sebarang pengajian dilakukan sebaliknya suspek hanya tinggal berdua dengan mangsa di dalam sebuah bilik masjid berkenaan dan suspek juga ditugaskan sebagai imam di masjid sama.
“Sepanjang tempoh itu, mangsa mendakwa sering menjadi mangsa pemuas nafsu songsang suspek dengan cara memegang kemaluan dan meliwatnya sehingga kanak-kanak itu berasa trauma.
“Suspek juga pernah mengugut mangsa ketika dia berusia 10 tahun supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa sebelum ibu mangsa membuat laporan polis pada 17 April lalu.
Tambahnya, wanita berkenaan kemudian mengambil semula anaknya itu untuk tinggal bersamanya selepas suspek sering menghubungi anaknya itu melalui WhatsApp dan mengajak untuk kembali tinggal bersamanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan laporan kes dan suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 14 (a) AKSTK 2017.