KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pemimpin tertinggi Gereja Roman Katolik, Pope Francis, yang disahkan meninggal dunia di Vatican City pada usia 88 tahun, awal pagi semalam.
Dalam satu kenyataan, Anwar menyifatkan mendiang sebagai tokoh luar biasa yang akan dikenang bukan sahaja sebagai Pope pertama dari negara-negara Global South, tetapi juga sebagai suara moral yang memperjuangkan belas kasihan, keadilan sosial dan perpaduan sejagat.
“Pope Francis adalah penyokong yang teguh untuk keamanan, dan usahanya untuk membina jambatan merentasi agama dan budaya mendapat penghormatan ramai, termasuk di dunia Islam,” kata Perdana Menteri.
Anwar turut memuji ketegasan mendiang dalam menyeru keamanan global, khususnya di wilayah bergolak seperti Gaza, selain komitmen beliau terhadap isu-isu sejagat seperti persefahaman antara agama, penjagaan alam sekitar, serta kebajikan golongan terpinggir.
“Mendiang bercakap dengan moral yang jelas mengenai penderitaan yang teruk di Gaza, mengingatkan dunia bahawa kita mesti menunjukkan belas kasihan yang sama kepada semua mangsa keganasan, di mana sahaja mereka berada,” ujar Anwar.
Tambah beliau, Pope Francis juga memperjuangkan nasib pendatang dan pelarian, menyeru masyarakat antarabangsa agar bertindak dengan kemanusiaan dan hati nurani.
“Secara peribadi, saya mendapat penghormatan untuk melawat Pope Francis semasa awalnya di Vatican. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada pihak Holy See dan seluruh penganut Katolik di seluruh dunia, khususnya masyarakat Katolik di Malaysia. Semoga legasi beliau berkekalan,” katanya lagi.
Pope Francis disahkan meninggal dunia sekitar jam 7.35 pagi waktu tempatan di Vatican City.
Pengumuman rasmi dibuat oleh pegawai kanan Gereja Katolik, Kardinal Kevin Farrell, menerusi siaran rasmi saluran TV Vatican.
Pope Francis dikenali sebagai reformis yang membawa pendekatan sederhana, progresif dan inklusif dalam pentadbirannya sejak dilantik pada tahun 2013, menjadikannya salah satu pemimpin agama paling berpengaruh dalam era moden.