KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini dimaklumkan bahawa ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, pernah ditahan polis dan menjalani proses lakonan semula (reconstruction) di beberapa lokasi berkaitan siasatan kes kematian tragis anaknya.
Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail yang tampil sebagai saksi pendakwaan ke-28 berkata, Ismanira bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, ditangkap pada 31 Mei 2024 selepas beberapa siasatan dilakukan, termasuk semakan terhadap panggilan telefon dan lokasi yang dikaitkan dengan kedua-dua tertuduh.
“Pada 9 Jun, Ismanira telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di Bandar Puncak Alam dan beberapa barangan telah dirampas dari lokasi tersebut,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Keesokan harinya, katanya, Ismanira dibawa keluar dari lokap untuk menjalani sesi lakonan semula berkaitan kejadian kematian Zayn Rayyan.
“Proses lakonan semula bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari dan dijalankan di bawah kawalan pasukan D6 Bukit Aman. Rakaman proses tersebut disimpan dalam pemacu USB dan diserahkan kepada saya untuk siasatan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ismanira dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 12 Jun 2024 bagi tujuan prosiding pengakuan di bawah Seksyen 26(1) Akta Keterangan.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan pada 13 Jun 2024 jam 4 petang.
Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, sedang dibicarakan atas dakwaan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan anak sungai berdekatan antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung.