Kenyataan Hadi Di Luar Konteks, Mengelirukan

KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyeru umat Islam menangguhkan ibadah haji atau umrah demi memastikan kemenangan politik Islam terus mencetuskan kontroversi apabila ia disifatkan sebagai mengelirukan serta menyalahgunakan konteks sejarah Islam.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan dalam satu kenyataan rasmi hari ini menegaskan bahawa hujah Hadi yang merujuk kepada tindakan Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiyah telah digunakan di luar konteks sebenar.

“Rasulullah SAW tidak menangguhkan ibadah kerana politik, sebaliknya terhalang secara fizikal untuk meneruskan ibadah umrah kerana perjanjian damai. Baginda berihram di Bir Ali sebagai tanda niat ikhlas menunaikan ibadah, bukan kerana strategi politik,” katanya.

Amidi membidas kenyataan Hadi yang dibuat ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning baru-baru ini, apabila beliau menggesa pengundi yang juga bakal jemaah haji untuk menangguhkan perjalanan mereka ke Tanah Suci demi mengundi, kononnya demi kepentingan Islam.

“Adakah benar pilihan raya disamakan dengan medan perang Rasulullah menentang kafir Quraisy? Atau ini satu lagi cubaan mengkafirkan calon UMNO dalam PRK kali ini?” soalnya.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah memusuhi Islam, bahkan kedua-duanya berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan mempertahankan institusi Islam di negara ini.

“Mereka semua melafazkan sumpah yang sama seperti Hadi. Jadi menyamakan mereka dengan musuh Islam atau mendakwa perjuangan politik lebih utama daripada seruan haji adalah sesuatu yang lebih buruk daripada merapu,” katanya lagi.

Menurutnya, sejarah Islam jelas menunjukkan bahawa tindakan Rasulullah SAW adalah bersandarkan niat suci dan kepatuhan kepada hukum.

Baginda berihram di bulan Zulkaedah, salah satu bulan haram yang melarang sebarang bentuk peperangan sebagai bukti tujuan utama Baginda adalah ibadah, bukan strategi politik.

“Jika Rasulullah meneruskan perjalanan secara agresif, Baginda akan difitnah memanipulasi ihram dan melanggar larangan berperang dalam bulan haram. Ia akan mencemarkan nama baik Islam. Jelas jauh bezanya antara perjuangan Rasulullah dan pendekatan Haji Hadi,” tambah beliau.

Amidi kemudiannya menyeru umat Islam agar tidak menjadi pentaksub kepada mana-mana tokoh politik, sebaliknya berpegang teguh kepada ajaran dan contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW.

“Mari kita jadi pentaksub kepada Allah dan Rasul, bukan kepada Haji Hadi,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles