KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden seorang lelaki bersenjatakan parang yang ditembak oleh pengawal keselamatan selepas dipercayai mengamuk di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting, petang semalam.
Kejadian itu turut dirakam dalam satu video yang kini tular di media sosial, memaparkan suspek mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum seorang pengawal keselamatan melepaskan tembakan menggunakan senapang patah bagi melindungi orang awam di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden tersebut daripada orang awam sekitar jam 3.31 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan telah mengacukan sebilah parang ke arah seorang pegawai perubatan. Sebelum itu, adik kepada lelaki terbabit menghubungi polis dan memaklumkan bahawa suspek sedang mengamuk di rumah mereka di Banting,” jelasnya.
Susulan laporan itu, pihak polis telah menggerakkan anggota ke lokasi dan membawa lelaki berkenaan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, situasi menjadi tegang apabila suspek bertindak agresif setibanya di kawasan restoran berdekatan hospital.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta untuk tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis terdekat atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 37 dan 39 Akta Senjata 1960.