Sultan Selangor Ingatkan Umat Islam Elak Terpedaya Dengan Pakej Haji Palsu

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan kebimbangan terhadap penipuan pakej ibadah haji palsu yang semakin berleluasa, dan mengingatkan umat Islam agar tidak menganiaya sesama jemaah dengan menawarkan pakej sedemikian.

Baginda bertitah, perbuatan tersebut bukan sahaja dilarang dalam Islam, malah berharap agar tindakan tegas diambil terhadap sindiket yang terlibat.

“Beta berharap tiada lagi jemaah haji ditipu oleh ejen tidak bertauliah. Jemaah haji juga diingatkan jangan menggunakan agensi lain yang boleh tertipu dan terpedaya,” titah baginda.

Titah tersebut disampaikan semasa majlis penutupan Kursus Perdana Haji 1446H/2025M peringkat Selangor yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pagi ini.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan Pengarah Urusan Kumpulan serta Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bakal jemaah haji dari Selangor agar menjaga nama baik negeri dan negara semasa berada di Tanah Suci.

“Jemaah Haji Malaysia dan Selangor perlu berdisiplin dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi. Jemaah Haji Selangor dan Malaysia diingatkan tidak terlibat dalam sebarang bantahan dan demonstrasi semasa di Makkah dan Madinah,” titah baginda lagi.

Kursus Perdana Haji yang berlangsung selama dua hari satu malam itu merupakan kursus haji peringkat akhir bagi memantapkan lagi persediaan bakal jemaah sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Bagi musim haji 1446H/2025M, negeri Selangor mencatatkan jumlah jemaah haji paling tinggi iaitu seramai 8,338 orang yang terdiri daripada 3,609 jemaah lelaki dan 4,729 jemaah wanita.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan bakal jemaah haji agar mempersiapkan diri sebaik-baiknya, bagi melaksanakan rukun Islam kelima itu.

“Beta juga menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain,” titah baginda.

Majlis penutupan Kursus Perdana Haji ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles