KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer memohon maaf kepada kakitangan syarikat itu yang terkesan susulan isu pakaian seragam rosak yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi malam ini, Pos Malaysia memaklumkan bahawa Brewer turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataannya sebelum ini yang dianggap tidak sensitif.
“Dengan penuh ikhlas, kami ingin mengakui dan menangani isu yang dibangkitkan melalui hantaran di media sosial baru-baru ini, yang merujuk kepada isu dalaman pada 19 Mac 2025 melibatkan pakaian seragam yang rosak.
“Kami telah mengambil tindakan segera dengan berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan yang terlibat, dan isu ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Isu berkenaan tercetus selepas seorang pekerja Pos Malaysia memuat naik hantaran di media sosial bertanyakan tentang status penggantian pakaian seragamnya yang koyak, selepas menerima teguran daripada pelanggan.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa isu tersebut telah ditangani segera menerusi komunikasi langsung dengan kakitangan terlibat dan telah diselesaikan sepenuhnya.
“Pihak kami sedang memperkemas proses dalaman agar penggantian pakaian seragam dapat dilakukan dengan lebih cepat dan sistematik,” tambahnya.
Sebelum ini, Brewer menjadi perhatian warganet apabila memberikan maklum balas di media sosial yang dianggap kurang sensitif.
Dalam responnya, beliau menyatakan bahawa kakitangan berkenaan seharusnya bersyukur tidak bekerja dengan syarikat penghantaran dari luar negara yang tidak menyediakan pakaian seragam langsung.
Kenyataan itu menerima kritikan netizen yang mempersoalkan tahap profesionalisme beliau dalam menangani aduan daripada kakitangan sendiri.
Pos Malaysia dalam kenyataannya turut menegaskan komitmen syarikat untuk menjaga kebajikan pekerja.
“Komitmen ini dilakukan bagi memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan yakin dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu lagi.