KUALA LUMPUR: Rakyat perlu memastikan kestabilan negara dijaga terlebih dahulu dalam berhadapan dengan cabaran semasa dunia bagi memastikan kekalnya daya tahan dan daya saing negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengenakan tarif kepada negara-negara dagangannya baru-baru ini seharusnya menjadi peringatan untuk sentiasa menjaga keadaan negara.
“Donald Trump menetapkan tarif menggemparkan. Kita dikenakan 24 peratus, ada negara 50 peratus Indonesia dan Thailand 30 peratus.
“Jadi apa yang kita lakukan? Ia mengingatkan kita, kita kena siap jaga rumah tangga kita kena betul. Negeri kita, ekonomi kita supaya bila ada malapetaka yang menimpa kita, kita dapat bertahan. Ini yang disebut daya tahan supaya kita ada daya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI peringkat Sarawak di sini, hari ini.- BERNAMA