Isu Tanah: Pentadbir Tanah Tak Lari Dari Tindakan Tegas Jika Khianat – Sultan Pahang

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan peringatan keras kepada semua pentadbir tanah agar tidak menjadi alat kepada pihak tertentu sehingga mengkhianati amanah yang dipegang.

Baginda bertitah, pentadbir tanah seharusnya bertindak sebagai benteng mempertahankan negeri daripada sebarang salah laku, dan bukan menjadi pelindung kepada kegiatan haram yang cuba dihalalkan atas alasan retorik atau kebajikan.

“Jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang negeri. Jangan terpedaya dengan naratif kononnya pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat.

“Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih untuk dikecualikan mengikut siapa yang bercakap paling lantang, siapa yang menekan atau paling banyak menghulur,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam titah yang sama, Al-Sultan Abdullah memberi sokongan penuh kepada agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk mengambil tindakan tegas tanpa pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk dalam isu pencerobohan tanah.

“Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang. Sesiapa sahaja yang menyalahgunakan kuasa atau bersekongkol dalam urusan yang menyalahi undang-undang, khususnya berkaitan pencerobohan tanah, wajib dibawa ke muka pengadilan.

“Malah beta tidak akan bertolak ansur terhadap individu yang cuba mengganggu, menghalang atau mencabar kuasa penguat kuasa dan penjawat awam ketika menjalankan tugas,” titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru agar semua agensi dan penjawat awam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh integriti serta tidak menyembunyikan sebarang salah laku yang dikesan dalam sistem pentadbiran.

“Janganlah pentadbiran kerajaan beta bersikap lesu dan longlai. Jadilah mata dan telinga beta, bukan mulut yang hanya tahu menyedapkan telinga.

“Jadikan ‘episod hitam’ ini sebagai satu pengajaran dan ingatan untuk semua yang berkuasa,” titah baginda dengan nada penuh ketegasan.

BBerkaitan

Latest articles