KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan memberi amaran keras terhadap peningkatan mendadak kes rogol dan sumbang mahram melibatkan remaja bawah umur, termasuk seawal usia 10 tahun, yang kini mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa gejala seksual dalam kalangan remaja adalah satu petanda tidak sihat yang mampu meruntuhkan masa depan generasi muda jika tidak ditangani segera.
“Gejala seksual remaja merupakan petunjuk kepada gaya hidup berisiko tinggi yang semakin membarah. Jika dibiarkan, negara bakal berdepan satu kecemasan sosial yang parah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu susulan pendedahan Polis Kelantan mengenai peningkatan kes rogol dan sumbang mahram setiap tahun, dengan 252 kes direkodkan pada 2024 berbanding 206 pada tahun sebelumnya.
Lebih membimbangkan, hampir 91 peratus kes berlaku atas dasar persetujuan bersama pasangan remaja yang masih di bawah umur.
Dr Mohd Na’im turut membidas kelemahan kawalan terhadap akses bahan lucah dalam kalangan remaja menerusi media digital, yang menurutnya menjadi pencetus utama kepada keinginan mencuba serta eksploitasi seksual oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Kanak-kanak dan remaja kini terlalu mudah terdedah kepada kandungan lucah tanpa tapisan. Tanpa pengawasan ibu bapa dan kawalan masyarakat, gejala ini akan terus merosakkan akhlak dan masa depan mereka,” katanya lagi.
Beliau menyeru pelaksanaan segera Pendidikan Seksualiti Holistik (PSH) yang bukan sahaja memberi fokus kepada aspek fizikal, tetapi turut merangkumi dimensi intelek, emosi, sosial dan spiritual, selari dengan nilai agama dan budaya tempatan.
Mohd Na’im juga menekankan keperluan pendekatan pengurangan risiko bagi membantu remaja yang telah terjebak, khususnya dalam menangani isu kehamilan luar nikah, jangkitan penyakit dan kesihatan mental.
“Tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana individu yang mengeksploitasi remaja, termasuk melalui amang seksual, cabul atau rogol. Undang-undang tidak boleh berkompromi,” katanya.