Dua Wanita Tak Mengaku Salah Bergaduh Di Hospital Isu Jaga, Kebumi Bapa

KUALA LUMPUR: Dua beradik wanita yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini tidak mengaku salan atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di dalam wad Hospital Melaka, Januari lalu.

Kedua-duanya tertuduh, Normala Othman, 47 dan Julaiha Othman, 45, dipercayai bergaduh berhubung isu penjagaan dan pengebumian bapa yang nazak.

Bagaimanapun bapa mereka meninggal dunia pada 20 Januari lalu.

Terdahulu pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut fakta kes, pergaduhan dua beradik itu dilakukan di Wad 42, Katil 2A Hospital Melaka dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 2.50 petang 19 Januari 2025.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah.

Kedua-dua tertuduh memberi alasan menjaga ibu yang sakit, anak orang kurang upaya (OKU) mental dan menanggung anak-anak yang masih kecil.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM800 bagi setiap tertuduh.
Kes akan disebut 3 Jun ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

BBerkaitan

Latest articles