Kementerian Komunikasi Anjur Taklimat Khas Tatacara Penggunaan Jalur Gemilang & Lambang Rasmi Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan menganjurkan satu sesi taklimat khas kepada pengamal media dan unit komunikasi korporat agensi kerajaan bagi memperkukuh pemahaman berhubung tatacara penggunaan Jalur Gemilang serta lambang rasmi negara.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diambil susulan insiden sebuah akhbar tempatan yang didakwa menyiarkan Jalur Gemilang dalam bentuk tidak tepat baru-baru ini, hingga mencetuskan reaksi negatif masyarakat dan pengguna media sosial.

“Walaupun siasatan masih dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kita mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan taklimat khas kepada pemain industri.

“Kita jangka sesi ini akan diadakan dalam tempoh dua minggu melibatkan pengamal media, unit komunikasi korporat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta agensi kerajaan lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Komunikasi hari ini.

Isu Jalur Gemilang menjadi tular selepas akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, memaparkan bendera negara tanpa lambang bulan sabit dalam satu cetakan edisi cetaknya.

Kesilapan itu menerima kecaman hebat netizen yang melihatnya sebagai mencemarkan simbol kedaulatan negara.

Sin Chew Daily kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf dan menjelaskan ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan bahawa siasatan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa KDN kerana ia melibatkan bahan bercetak, manakala MCMC meneliti kandungan versi digital seperti e-paper.

“Untuk versi cetak, ia di bawah KDN. Tetapi kerana akhbar itu juga ada versi digital, maka MCMC turut membuat penelitian terhadap aspek tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, taklimat khas ini merupakan inisiatif penting bagi memastikan penggunaan lambang rasmi negara mematuhi garis panduan yang ditetapkan, sama ada dalam bentuk cetakan mahupun digital.

“Langkah ini penting agar semua pihak memahami batas dan tanggungjawab mereka dalam menyiarkan simbol-simbol rasmi negara,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles