KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi lelaki yang lengkap sifat ditemui dalam keadaan berbalut kain dan diletakkan dalam sebuah kotak di sebuah gerai tidak bernombor di Batu 13, Jalan Jeroco, Lahad Datu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata pihak polis sedang giat menjalankan siasatan dan mengesan individu yang bertanggungjawab dalam kes pembuangan bayi tersebut.
“Bayi lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia ketika ditemui. Mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dzulbaharin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 089-881255.