Sin Chew Daily ‘Bernasib Baik’ ISA Dah Mansuh

KUALA LUMPUR: Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Khairudin Murad, menyifatkan insiden membabitkan Sin Chew Daiky sebagai “tidak masuk akal” dan mencadangkan permit akhbar berkenaan digantung sekurang-kurangnya selama enam bulan.

“Kalau zaman ISA dulu memang sudah kena masuk (penjara). Sekarang kita sudah tiada ISA, mereka bernasib baik,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Khairudin, bulan sabit dalam Jalur Gemilang adalah lambang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, dan pengguguran elemen penting itu memberi implikasi besar dari sudut simbolisme dan semiotik.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana kesilapan sebesar itu boleh melepasi pelbagai peringkat tapisan dalam proses editorial dan percetakan sebuah surat khabar arus perdana.

“Kita bercakap tentang ‘gatekeeper’ dalam dunia kewartawanan. Di setiap peringkat – editorial, grafik, hingga ke percetakan – pasti ada kawalan. Jadi apabila semua peringkat gagal mengesan kesilapan, ia menimbulkan persoalan besar,” tegasnya.

Lebih membimbangkan, kata beliau, dalam ilustrasi sama, bendera China dipaparkan dengan sempurna, sedangkan Jalur Gemilang mengalami kecacatan, menimbulkan tafsiran bahawa ia berunsur propaganda halus atau mesej tersirat.

“Kalau kita buat analisis simbolisme, ini memberi gambaran seolah-olah ada wilayah baharu yang sedang ditakluki secara halus. Ia menyinggung semangat nasionalisme rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa permohonan maaf sahaja tidak mencukupi dan menuntut agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas agar insiden seperti ini tidak menjadi kebiasaan dan diulang pada masa hadapan.

Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan grafik pada muka depannya yang menunjukkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, dengan alasan “kesilapan teknikal” dan berjanji memperbetulkannya dalam edisi seterusnya.

BBerkaitan

Latest articles