Tindakan Pantas SKMM Dan Telco Atasi Masalah Liputan Internet Dipuji

Para petugas pilihan raya dan pengamal media yang bertugas di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah mengambil langkah proaktif memperkukuh liputan internet di kawasan ini.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk media menghadapi kesukaran menjalankan tugas ekoran kelemahan capaian internet, khususnya sebelum dan pada hari penamaan calon. Namun, masalah tersebut kini dilaporkan telah berjaya diatasi hasil tindakan pantas SKMM selepas teguran yang dibuat oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

“Alhamdulillah, internet di sini baik-baik sahaja ketika saya membuat liputan, takda sangkut-sangkut,” kata Wan Zahari Wan Salleh, salah seorang wartawan yang membuat liputan semasa hari penamaan calon lapor portal Malaysiadateline

Seorang lagi petugas, Shahril Muhamad dari Kuala Lumpur berkata: “Liputan internet ok je kat sini kecuali kawasan luar sikit adalah sangkut-sangkut.”

Menteri Komunikasi sebelum ini menggesa agar liputan telekomunikasi dipertingkatkan di 27 lokasi sekitar DUN Ayer Kuning, dan hasilnya SKMM telah mengarahkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengambil tindakan segera.

Antara lokasi utama yang diberi perhatian termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 pusat mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang; dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning serta NADI PPR Sri Bidor.

SKMM memaklumkan bahawa semua penyedia perkhidmatan utama iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah menyerahkan pelan tindakan penambahbaikan masing-masing.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan pelaksanaan perkongsian infrastruktur antara syarikat telekomunikasi.

Dengan tindakan pantas ini, suasana PRK di Ayer Kuning dapat diliputi dengan lebih lancar dan efisien oleh semua pihak terlibat.

BBerkaitan

Latest articles